Sunday, April 19, 2009

Patriotisme dalam masyarakat

ULASAN MENGENAI ARTIKEL
Oleh : Dr Pert(AE0701**)

Patriotisme? Apakah itu patriotisme? Perlu atau tidak mengetahui patriotisme itu? Bermacam-macam persoalan timbul apabila pertama kali mendengar perkataan “patriotisme” ketika di bangku sekolah. Mungkin ia sejenis kuih, mungkin jenama kereta dan berbagai-bagai lagi jenis kemungkinan bermain di fikiran. Tapi semua itu hanyalah kemungkinan-kemungkinan yang cuba dirungkai oleh akal yang baru hendak mengenal dunia.

Yang sebenarnya patriotisme itu adalah satu perasaan cinta yang amat kuat terhadap tanahair menyebabkan seseorang itu sanggup berjuang berhabis-habisan demi maruah negaranya. Dan negara Malaysia ini juga terbentuk dari patriotisme rakyat-rakyatnya yang berani memperjuangkan hak-hak mereka. Pejuang-pejuang dahulu menunjukkan patriotisme mereka dengan melakukan pemberontakan tehadap golongan-golongan yang cuba merobek maruah dan kedaulatan negara ini. Sememangnya patriotisme ini perlu wujud dalam setiap insan, tidak kira orang Malaysia, ataupun Bolivia mahupun Russia. Walaupun kadangkala sesetengah negara adalah negara yang menjajah, tetapi atas patriotisme yang kuat itulah mereka sanggup merantau merentas lautan mencari tanah baru membina empayar. Semua itu kerana perasaan cinta kepada negara mereka. Lain pula bagi negara yang dijajah, patriotisme mereka lebih kepada penentangan terhadap unsur-unsur asing yang merosakkan adat serta kedaulatan negara mereka.

Patriotisme ini adalah kepentingan logik negeri itu sendiri, yang memperoleh kesahan dari menjadi penyataan kebaikan bersama komuniti politik. Tugu negara dan Hari Bekas Perajurit dan upacara peringatan merupakan contoh-contoh tipikal bagi jenis patriotisme ini. Selalunya patriotisme rasmi diatur oleh protokol, dengan kaedah-kaedah tertentu untuk mengendali bendera, atau jaminan atau penunjukan kesetiaan tertentu. Patriotisme banyak bergantung kepada tindakan simbolik, seperti mempamerkan bendera, menyanyi lagu kebangsaan, menyertai perhimpunan beramai-ramai, meletakkan pelekat bampar patriotik pada kenderaan, atau apa-apa cara sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada negara di peringkat umum. Patriotisme simbolik ketika perang dijangka menaikkan semangat yang pula menyumbang kepada usaha perang. Patriotisme masa aman tidak boleh dikaitkan begitu mudah kepada faedah yang boleh diukur untuk negeri, namun patriot tidak merendah-rendahkannya.

Pada dunia hari ini, konsep patriotisme telah diperluaskan bukan hanya pada perjuangan mendapat kemerdekaan tetapi juga dalam pembangunan, sukan serta sosial dan juga ekonomi malah segala aspek yang melibatkan negara. Pada masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu mengangkat senjata untuk menunjukkan semangat patriotik itu. Hanya dengan kesungguhan dalam melakukan kerja dengan niat untuk menaikkan nama negara di arena antarabangsa. Sebagai contoh, seorang petani kobis bersungguh-sungguh dalam mengerjakan ladang kobisnya sehingga menjadi pengeksport kobis terbesar dunia, jika tidak pun dia menjadi pembekal terbesar di negerinya.

Dalam era globalisasi yang mencabar ini, Malaysia memerlukan tenaga kerja yang produktif, berpengetahuan, berkebolehan dan lebih berdaya saing bagi memastikan negara mencapai kemajuan dan pembangunan sosioekonomi yang lebih mapan. Negara memerlukan pekerja-pekerja terlatih, berkemahiran dan produktif dalam berbagai-bagai bidang. Keperluan ini semakin meningkat selaras dengan peralihan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan. Setiap nilai murni yang kita pelajari dapat mematangkan pemikiran sekali gus menjadikan generasi muda sebagai golongan yang setia akan negara dan bersedia untuk bersaing untuk memartabatkan nama negara di setiap pelusuk negara.

Dalam usaha untuk menanam dan memupuk semangat patriotisme, elemen sejarah merupakan antara medium yang boleh digunakan untuk menerapkan semangat tersebut. Dalam episod sejarah hidup Sun Tzu, selain soal strategi perang, ada dua hal yang perlu kita titikberatkan. Pertamanya adalah soal patriotisme atau kecintaan terhadap rakyat dan negara dan keduanya tentang pengorbanan. Sun Tzu amat menekankan semangat patriotisme dan pergorbanan keranan dua elemen inilah yang paling penting jika ingin mempertahankan kedaulatan negara. Makna patriotisme tidak berubah, iaitu cinta yang kental dan kekal terhadap bangsa dan negara Malaysia. Tetapi fokus atau bentuk patriotisme mungkin berubah mengikut masa dan keadaan. Bagi generasi yang melalui pengalaman yang berbeza, fokus patriotismenya mungkin juga berbeza, walau pada hakikatnya ia tetap berpaksi pada makna yang sama. Bagi generasi pra-merdeka, fokus patriotismenya ialah memperjuangkan kemerdekaan. Selepas itu, fokus patriotismenya ialah mengisi kemerdekaan. Bagi yang melalui zaman konfrontasi, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan Malaysia yang baru dibentuk.

Sebagai rakyat sesebuah Negara, individu ataupun komuniti yang berkenaan perlu mengamalkan patriotisme bagi mengekalkan prestasi masing-masing dalam setiap kerja yang dilakukan. Walaupun patriotisme ini lebih kepada unsur simbolik seperti bendera, lagu serta tugu, tidak semestinya kita perlu menyanyi lagu kebangsaan setiap masa ataupun sentiasa membawa bendera sehingga terlupa pada tanggungjawab sebenar kita hidup di sesebuah negara. Apabila sudah menanam semangat patriotik dalam diri, secara tidak langsung seseorang individu itu akan bersungguh-sungguh untuk menaik taraf diri dalam melakukan apa sekelipun kerja yang diberikan demi rasa cinta pada negara. Semangat patriotik seperti ini yang perlu ada dalam hati setiap masyarakat.














ARTIKEL

Sumber Artikel : Utusan Malaysia (16/10/2008)

DALAM NEGERI

Perkasakan semangat patriotik

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu rakyat negara ini terus diperkasakan dengan semangat patriotisme kerana tanpa semangat itu sesebuah bangsa akan hanyut tanpa pedoman.

Menurut Perdana Menteri, rakyat yang tiada semangat itu akan menjadikan faktor kebendaan sebagai matlamat hidup sedangkan ia tidak akan menjadikannya bangsa yang mulia dan tinggi martabat.

''Patriotismelah juga yang akan mengikat kita semua rakyat Malaysia dalam satu ikatan walaupun keturunan yang berbeza tetapi kerana negara kita Malaysia maka kita mempunyai satu matlamat,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Program Semangat Merdeka 2008 sempena Majlis Aidilfitri Bersama Biro Tata Negara (BTN) di Akademi Kenegaraan di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom dan Ketua Pengarah BTN, Datuk Saghul Hamid.

Pada majlis itu juga Abdullah menyaksikan penyerahan sijil Malaysia Book of Records kepada BTN sempena penayangan filem berasaskan komuniti terbanyak pada satu hari.

Kejayaan itu dicapai apabila seramai 39,462 orang menyaksikan filem 1957: Hati Malaya pada 12 Oktober lalu yang melibatkan 170 tayangan.

Kata Perdana Menteri, banyak negara yang merdeka di dunia ini tetapi tidak mempunyai martabat kerana kemiskinan dan ketinggalan selain menghadapi peperangan serta masalah lain.

No comments:

Post a Comment